MMM1
Mahathir Tidak Ada Pilihan Lain Lagi
Awalkata: Kita mulakan siri baru ini dengan
menggunakan abjad ‘MMM’, kerana mengikut ragam dan selera semasa. Terpulanglah
kepada para pembaca memikirkan apakah sebenarnya makna MMM ataupun ‘3M’. Kita
akan beri jawapannya apabila siri ini ditamatkan. Penulis menggunakan tiga abjad
itu selepas mengambil kira beberapa emel yang dikirimkan oleh para pembaca yang
mahu penulisan diteruskan, sebaik sahaja ‘Yang Terbang Dan Terbengkalai’
ditamatkan. Malahan, ada yang bertanya kenapa siri itu dimatikan begitu sahaja.
Jawapannya mudah sekali. Ia terletak kepada pendekatan yang diusahakan.
Saya mengambil sempena tarikh ini untuk memulakan
siri terbaru di alam siber sempena ulangtahun ke-25 pulangnya Almarhum Tun Abdul
Razak bin Husin ke alam baqa. Di waktu yang sama saya rakamkan ulangtahun
kepulangan Aruah Hamid Tuah, insan kamil yang memudahkan usaha Tun Razak membuka
hutan belentara untuk penempatan para peneroka. Alfatihah dihadiahkan kepada kedua
pejuang bangsa ini.
Tujuan utama siri ini ialah merakamkan setiap
peristiwa yang terjalin dan yang mampu merobah nasib rakyat Malaysia terutama
sekali orang Melayu. Kita memberi fokus kepada usaha jijik memutarkan minda rakyat
marhaen agar sama-sama dapat membetulkan keadaan sebelum putaran itu menjadi
semakin ligat dan kesannya terus berkarat dan menggugat. Mahathir
Tidak Ada Pilihan Lain Lagi
Kita pernah ramalkan, negara akan mengalami beberapa
kejadian yang pelik-pelik dan yang tidak terfikirkan oleh akal yang waras; seperti
yang berlaku selepas Januari 10 yang berlalu. Banyak perkara itu berlaku di
Putrajaya di mana seorang diktator tua sedang bertakhta seolah-olah Malaysia ini
dia punya dan seolah-olah semua rakyat jelata termasuk Majlis Raja-Raja adalah
dibawah telunjuknya. Kita terdengar cerita mendapan beberapa kawasan di Putrajaya,
malangnya tidak ada satu gambar ataupun berita yang jelas mengenainya.
Rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu telah
disogokkan dengan fitnah bahawa orang Melayu sedang berpecah. Kerana itu UMNO yang
dikatakan “sebagai teras parti politik Melayu” terpaksa mengajak parti Melayu
yang lain untuk berunding mengenai perpaduan orang Melayu. PAS dikatakan sedang
menyusun agenda dengan orang perantaraan UMNO untuk melakukan perbincangan
perpecahan orang Melayu.
Kenapa Perlunya Perbincangan
Perpaduan?
Agenda perbincangan perpaduan ini sebenarnya sudah
dirancangkan sebelum Mahathir pergi bercuti ke Myanmar. Dia menjangkakan orang
suruhannya mampu mengajak pemimpin Keadilan dan PAS untuk bersetuju agar
perbincangan dapat dilaksanakan dengan UMNO. Keadilan telah menolak ajakan itu.
Ezam, selaku Ketua Pemuda Keadilan mengambil sikap berterus terang
mengatakan Keadilan bukannya parti orang Melayu. Kerana jawapan yang tegas itu
Keadilan sekarang ini dihimpit oleh pelbagai sindiran daripada pucuk
pimpinan UMNO bahawa Keadilan tidak mampu memperjuangkan masalah orang Melayu.
Terpulanglah kepada Keadilan untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya. Setakat
ini, alasan Keadilan itu kita ketahui melalui akhbar pembohong tajaan UMNO dan
kerajaan sahaja.
Perbincangan mengenai perpaduan Melayu bolehlah
dianggap sebagai usaha UMNO yang berbentuk ‘damage control’ untuk memperbaiki
imej parti yang teruk disebabkan tindak-tanduk Mahathir yang serba tidak kena dan
serba mengada-ada sejak beberapa tahun yang lalu. Keadaan memuncak apabila UMNO
kalah teruk di Lunas. Lunas jatuh ke tangan Keadilan kerana UMNO terlalu percaya
dengan dakyah Samy Vellu bahawa calon MIC, peguam S. Anthonysamy adalah calon
terbaik untuk mengekalkan kerusi yang dipegang oleh Dr. Joe Fernandez selama dua
musim itu.
Sebaliknya, kejatuhan Lunas tidak mengejutkan
penganalisis politik. Kalau diambil kira keadaan persekitaran Lunas ketika pemilu
kecil itu dengan persekitaran di Teluk Kemang dan Sanggang ketika diadakan
pilihanraya kecil di sana, sepatutnya Teluk Kemang dan Sanggang pun jatuh kepada
parti Barisan Alternatif. Ketika Sanggang dipertandingkan, keadaan ekonomi para
petani dan masyarakat luar bandar berada di dasar bawahan. Lagipun gelagat menteri
Besar Pahang menunjukkan ‘logo baru UMNO’ di hari pencalonan sudah mampu
menyekat simpati para pengundi. Apatah lagi dengan kisah ‘mata lebam’ yang
ditanggung oleh Saudara Anwar Ibrahim. Begitu juga di Teluk Kemang ketika Haji
Roslan Kassim bertanding melawan S. Solinathan. Ekonomi di Port Dickson merudum
sehingga kawasan pantai lengang untuk sekitar tiga tahun (hinggalah ketika ini).
Episod Bukit Pelandok yang mengorbankan ratusan nyawa manusia dan ribuan ternakan
berkaki empat, telah menghenyak Barisan Nasional.
Kemenangan Barisan Nasional di Teluk Kemang dan
Sanggang dan kekalahannya di Lunas mencetus minda para analis untuk bersetuju
bahawa keputusan sebenar di Sanggang dan Teluk Kemang dulu ialah disebabkan
penggunaan ‘pengundi hantu’ dan yang tidak mampu digunakan secara menyeluruh
di Lunas. Barisan Alternatif sudah memperbaikki jentera pengurusan di hari
pengundian. Malahan, kalau kita masih ingat akan kelewatan beberapa tong undi di
malam perkiraan pertarungan Zainur Zakaria, Chandra Muzafar, Marina Yusuf dan
beberapa calon BA yang lain, kita akan faham betapa budaya undi hantu sudah lama
berleluasa. Namun, UMNO di bawah kepimpinan Mahathir masih tidak mahu menerima
hakikat kekalahan di Lunas itu dengan hati yang terbuka. Mungkin Mahathir
tidak tahu ataupun diberitahu bahawa sebelum menjadi calon pilihanraya di Lunas
itu YB Saifuddin pernah bekerja sebagai seorang pengurus di ladang Victoria di
Lunas. Ketika bertugas di situ dia merupakan seorang insan yang disenangi oleh
para pekerjanya. Dengan lain perkataan, Saifuddin adalah calon yang amat
tepat ketika itu berbanding dengan calon MIC yang dikatakan “tidak pun menjadi
ahli MIC ketika hari pencalonan.”
Kita akui, Saifuddin menang di Lunas kerana sokongan
pengundi Cina yang beralih selera. Di waktu yang sama ramai juga pengundi orang
Melayu dan India yang berpihak kepada BA. Berubahnya selera pengundi Cina di
Lunas, dikatakan berputik daripada hasutan yang dilakukan oleh kumpulan Suqui
yang meminta kerajaan menimbang semula rayuan mereka yang diserahkan pada
September 1999 dulu, dan yang telah diterima secara prinsipnya oleh Mahathir dan
kabinetnya yang lama. Bagaimanakah Suqui mampu menggerakkan perasaan orang Cina
dengan sesuatu yang telah diterima oleh kerajaan secara prinsipnya? Kenapa pula
MCA dan Gerakan tidak berjaya melembutkan pengundi Cina di Lunas mengenai perkara-
perkara yang berbentuk rayuan semata-mata?
Masyarakat Cina Yang Merasa Tertipu
Masyarakat Cina di Lunas mampu berfikir dengan waras
memihak kepada BA kerana mereka merasa tertipu dengan tindak-tanduk Barisan
Nasional. Selama dua penggal mereka mengundi calon MIC kerana mahukan faedah
pembangunan kerajaan BN. Mereka merasakan diri mereka diabaikan apabila kerajaan
tidak mengambil kira kepentingan masyarakat di Lunas dalam banyak hal. Perkara ini
menonjol apabila Samy Vellu mencurahkan lebih daripada 35 juta ringgit (ada pula
pihak yang menyebut setakat 21 juta sahaja) untuk membawa pembangunan segera ke
kawasan pilihanraya itu dalam tempoh satu bulan. Inilah projek segera yang
tercanggih di seluruh negara yang pernah dilakukan ‘secara kilat’ oleh BN.
Tetapi, kerajaan terlupa bahawa untuk satu tempoh
yang lama masyarakat Lunas secara keseluruhannya telah meminta kerajaan
mengalihkan pintu tol jalan lebuhraya Butterworth Grik itu agar penduduk Lunas
dikecualikan daripada bayaran tol. Begitu juga dengan bekalan air paip yang tidak
dinikmati oleh beberapa penempatan perumahan di situ walaupun negara sudah merdeka
sejak 43 tahun yang lalu. Akhirnya Samy Vellu menyediakan bekalan air itu
tetapi bekalan ke rumah-rumah terpaksa dilakukan sendiri oleh penghuni rumah
kerana kerajaan BN tidak menyediakan saluran paip percuma ke rumah individu.
Di sini kita lihat rintihan penduduk Lunas apabila
dibandingkan dengan rintihan pengundi Sanggang dan Teluk Kemang adalah rintihan
remeh yang mampu ditangani dengan janji-janji baru. Apabila pembangunan segera
yang berjuta-juta harganya tidak mampu menyokong calon BN, barulah kita sedar
betapa kuatnya penggunaan pengundi hantu yang diamalkan selama ini dalam
percaturan kemenganan calon BN.
Penganalis kerajaan sudah membaca kekalahan yang
terpaksa ditelan oleh BN sebelum bermulanya pembuangan undi di Lunas. Tetapi,
alasan utama yang diberikan ialah “sokongan pengundi Cina sudah beralih
selera”. Inilah yang membuatkan Mahathir melenting dan mengeluarkan kata-kata
celupar betapa orang Cina tidak tahu bersyukur dan berterima kasih terhadap
jasa-jasa yang dilakukan untuk memperbaiki ekonomi negara. Begitu juga dengan
dasar-dasar yang menjamin kekayaan orang Cina tidak teruk tergugat. Sekaligus,
masyarakat Cina menjadi semakin marah. Mereka merasa terhina apabila di awal
kempen pilihanraya kecil itu lagi akhbar perdana tajaan UMNO telah menyiarkan
maklumat songsang betapa DAP telah bertindak menarik diri daripada komponan BA.
Cakap-cakap celupar Mahathir ini telah memperkuatkan azam pengundi Cina
mempengaruhi pengundi Melayu Lunas agar mengundi Saifuddin.
Tetapi, budaya ‘Cina-tidak-tahu-bersyukur’ itu
merupakan agenda Mahathir sebelum beliau menghadiri persidangan OIC di Doha. Di
waktu itu akbbar perdana telah memainkan isu perbalahan terhadap pemilihan
calon BA. (contoh: Sila lihat Straits Times bertarikh 16.11.2000 muka surat 2
bertajuk ‘Opposition disagrees on Lunas Candidate). Di muka surat yang sama ada
disebut betapa Pemuda UMNO yakin menang kerana terdapatnya 6,000 pengundi
baru di kalangan muda-mudi Lunas. Malangnya di akhbar yang sama pada
mukasurat 9 disiarkan pula dua gambar wakil rakyat Selangor yang bergaduh pada
13.11.2000 di Dewan Perundangan Negeri Selangor. Dalam episod itu Datuk
Zakaria Md. Deros telah menampar muka wakil DAP Teng Chang Khim. Kisah menampar
ini bermula dengan kisah kilang haram yang telalu lama wujud di Selangor. Kerana
mahu mempertahankan kilang-kilang haram itu seorang Melayu sanggup merendahkan
martabatnya.
Episod menampar itu terpaksa diselesaikan dengan
cepat kerana UMNO mengadakan persidangan perwakilan khas pada Sabtu 18 November
2000. Agenda besar persidangan itu ialah untuk meluluskan satu agenda putarbelit
seorang diktator tua agar tempoh pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan
bahagian ditetapkan untuk lima tahun. Pada hari itu sekitar 2,000 perwakilan yang
mewakili 165 bahagian UMNO terpaksa membuat pilihan mereka. Perkara itu tidak
menjadi kerana sudah ada “pakatan di akar umbi untuk memberontak dengan
bijak”. Kesannya, pengaruh seorang diktator tua jatuh terperusuk ke dalam
longkang keaiban.
UMNO Tolak Budaya Rasuah ?
Persidangan Agong Khas UMNO bertarikh 18 November
itu meluluskan 49 daripada 50 pindaan perlembagaan parti. Fasal 14.4.4 mengenai
kuasa cawangan melantik seorang wakil bagi setiap 50 ahlinya yang
menjelaskan yuran bagi menghadiri mesyuarat bahagian dengan jumlah maksimum
lima orang, dikekalkan. Sebenarnya, taktik Mahathir untuk mengekalkan kuasa tanpa
bertanding untuk lima tahun, tidak diterima oleh perwakilan dan tidak pula
didedahkan oleh akhbar perdana.
Para perwakilan ketika itu dikejutkan oleh tema
ucapan-perdana presiden parti. Dia berucap di atas tajuk “Sayang Bangsa Tolak
Rasuah”. Rakaman TV dan foto menunjukkan para hadirin ‘terpesona’ mendengar
ucapan itu. Di dalam hati mereka tercetus banyak tandatanya, selama ini siapakah
sebenarnya Raja Rasuah Melayu?
Tajuk rasuah semakin mencetuskan kemarahan
orang Melayu kerana rakyat marhaen sedar betapa rasuah berleluasa di negara ini
disebabkan Mahathir tidak berapa berminat untuk membenterasnya. Tuduhan terhadap
beberapa personaliti yang rapat dengan Mahathir oleh bekas Ketua Pengarah Badan
Pencegah Rasuah adalah satu tamparan yang paling hebat sekali. Malangnya, Mahathir
sanggup menolak tepi semua laporan itu. Dia sudah tidak mampu melakukan sesuatu
yang berkesan kerana sistem kehakiman negara sudah bergelumang dengan budaya
rasuah. Perkara ini terdedah apabila disiarkan gambar-gambar Ketua Hakim Negara
dan Peguam Negara bersantai dengan peguam khas Tan Sri Vincent Tan. Sistem
kehakiman itu menjadi lebih gawat apabila segala laporan dan gambar yang
mengaibkan negara itu disediakan oleh satu pasukan khas yang berpusat di England.
Sekaligus ia memperlekehkan sistem kehakiman yang menghenyak seorang timbalan
perdana menteri di atas segala tuduhan palsu yang dikenakan ke atasnya, atas
arahan dan konspirasi yang didalangi oleh seorang diktator tua.
Sekali lagi Mahathir tersalah tafsir. Dia gagal
memahami sentimen orang Melayu secara menyeluruh. Dia fikir dengan berucap
mengenai Budaya Rasuah dia mampu menarik sokongan rakyat marhaen terhadap
kepimpinannya. Mahathir mahukan orang Melayu menumpukan usaha membasmi
rasuah itu “kalau mereka sayangkan bangsa”. Tetapi, apakah yang
dilakukannya dua hari sebelum itu? Pada hari Khamis 16 November, 2000 Mahathir
telah merestui tindakan Kerajaan Selangor meluluskan Rang Undang-Undang Wilayah
Persekutuan Putrajaya 2000 bagi membolehkan Putrajaya diserahkan kepada Kerajaan
Persekutuan. Daripada 42 penyokong kerajaan, hanya seorang (Dato Abu Hassan
Omar) yang tidak hadir untuk menyokong rang undang-undang itu. Enam ahli parti
pembangkang yang diketuai oleh Dr. Mohd Hassan Ali telah bertindak keluar
dewan kerana membantah penyerahan berkenaan. Saya ada menulis mengenai penipuan
besar di tahun 2000 itu melalui tulisan bertajuk “Otak Di Lutut Beralih ke
Mana”. Komen kita mengenai pembohongan si diktator tua mengenai budaya rasuah
itu ada kita kiaskan dalam “Raja
Kelentong Berlakon lagi”.
Kini, Putrajaya sedang bersiap sedia untuk menyambut
kemunculan Februari 1, bersempena Hari Wilayah. Sehingga kini segala persiapan
untuk sambutan itu masih dibungkus oleh seribu rahsia. Kenapa agaknya? Apakah
disebabkan pelancaran besar-besar yang diatur itu makanya kerja-kerja penyambungan
saluran gas-masakan ke rumah kediaman yang lama tergendala di sambung semula?
Kini, kerja-kerja sambungan itu tertunda lagi selepas musibah yang datang tanpa
diduga. Cuma, kenapakah cerita sebenar musibah itu disorokkan juga?
Lunas Yang Mengejutkan
Kejatuhan BN di Lunas pada 29 November 2000,
merupakan satu tarikh yang sungguh bersejarah di mana kesannya yang sebenar
dalam percaturan politik Malaysia masih belum di fahami oleh ramai pemimpin
politik Melayu. Inilah tarikhnya di mana kepimpinan Mahathir sebagai ketua
Barisan Nasional sudah dibakul-sampahkan oleh rakyat marhaen. Pada lahiriahnya
Mahathir mungkin tidak lagi terjejas dengan kekalahan itu. Tetapi kesan kekalahan
calon MIC di Lunas itu sudah mampu membuatkan beliau menukar agenda tidurnya di
malam hari. Kita dapat lihat betapa perwatakan Mahahtir berubah secara drastik
selepas kekalahan itu. Kini, rupanya pun sudah berubah cepat kerana dia tidak lagi
nampak segak seperti dulu walaupun kita tahu dia menerima suntikan hormon awet
muda untuk menyerlahkan ketokohannya yang memang penuh ilusi.
Seperti biasa, Mahathir cepat bertindak dalam
mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah. Tetapi, setiap tindakannya itu
disalut dengan beberapa lakonan dan sandiwara yang sengaja dilakar agar rakyat
marhaen terbabit sama. Baik dalam bentuk pembabitan fizikal mahupun dalam bentuk
pencetusan minda, mereka mudah diputarbelitkan. Eloklah kita rakamkan apa yang
dilakukan oleh UMNO/ Barisan Nasional sebaik sahaja kerusi di Lunas tumpas dan
beralih kepada Keadilan:
a) Samy Vellu cabut lari sebelum keputusan
pilihanraya Lunas diumumkan. Sekaligus dia mengengkari janji-janji manis betapa
dia “tidak akan keluar daripada Lunas kalau BN kalah”.
b) Aziz Sikh Fadzir menghantar surat perletakan
jawatan daripada menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO berkuatkuasa 1 Disember, 2000.
c) Datuk Shahrir Samad
menulis di internet “menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad
sebagai punca kekalahan di Lunas. Kisah ini dibesar-besarkan lagi oleh Utusan
melalui beberapa artikel bertajuk “Shahrir Terlampau Lepaskan Geram” oleh
seorang insan bernama Faisal Mohd. Akil yang dikatakan beralamat di Universiti
Malaya, Kuala Lumpur. Selalunya kebanyakan surat pembaca yang disiarkan dalam
akhbar perdana adalah tulisan rekaan staf surat-akhbar sahaja. Yang lebih
menjijikkan pada hari itu ialah satu tulisan yang ditulis oleh Zia-Ul Arief
bertajuk “Lunas Dirampas Melalui Politik Kotor”. Kalau diteliti tulisan itu ia
mempunyai jalan pemikiran tulisan seorang wartawan yang pernah disingkirkan oleh
Utusan. Tetapi, kini dia menjadi seorang senator. Penulis artikel (Zia-ul Arief)
menunjukkan mutu penulisan sesaorang yang mempunyai otaknya yang sudah berada di
lutut. Apakah kerana tulisan seperti itu makanya Ezam dan Azmin Ali ditahan oleh
polis ketika sampai di KLIA daripada Mekah?
d) Sandiwara perletakan jawatan Aziz Sikh itu
ditariknya balik setelah berbincang dengan Ketua Pemuda. Itulah tindakan yang
sepatutnya sebelum dia mengirim surat perletakan jawatan kepada Presiden parti.
e) Beberapa isu hangat sengaja diketengahkan untuk
menyerap kekalahan di Lunas. Antaranya ialah (i) Politik kafirkan pelajar di
UUM seperti yang sengaja dibesar-besarkan oleh Naib Canselor UUM. (ii) GPMS
mahukan sekolah aliran Inggeris dihidupkan semula. Cadangan GPMS itu adalah
berdasarkan hasil kajian yang dibuat ke atas 500 responden. Isu itu
diketengahkan sebagai satu ‘prelude’ (awalan) untuk menyediakan minda rakyat
marhaen kepada peranan yang ‘lebih besar’ yang mahu dimainkan oleh Suhaimi
Ibrahim dan GPMS dalam menyanggah isu Suqui. Selain bersuara lantang mengenai
Sekolah Wawasan, Suhaimi cuba memanjangkan isu Suqui dengan ugutan untuk
mengemukakan 100 tuntutan kepada Mahathir pula.
f) Serangan terhadap pembangkang dan Barisan
Alternatif semakin menjadi-jadi. Paklah dan Najib menggunakan majlis berlainan
mencetuskan “projek terbaru Mahfuz yang menyerupai budaya intifada orang
Palestine”. Ini merupakan satu sandiwara terbaru sebaik sahaja Mahfuz Omar
bersama Salahuddin Ayub dan Pak Amjal keluar daripada penjara Kajang. Tujuan
sebenar mereka mencetuskan sandiwra terbaru ini ada kita jelaskan dalam ‘Yang
Basau Dan Basi’. Reaksi mendadak rakyat marhaen terhadap isu yang dicetuskan
itu memaksa UMNO bertindak dengan ‘damage control’ lagi sehinggalah senyap
cerita intifada itu tanpa sebarang ‘batu’ dibalingkan ke mana-mana.
g) Projek intifada tiba-tiba tenggelam apabila
Utusan mula membesarkan kembali isu perpecahan Melayu. Isu itu menjadi hangat
kembali apabila Zam berucap di Dewan Negara atas isu yang sama. Dia terlupa akan
sebuah artikelnya yang tersiar pada September 1999 dulu yang bertajuk
“Konspirasi Golongan Revolusioner dan Reaksioner”. Dia juga terlupa betapa
rakyat marhaen menganggap Episod Sauk dan juga Episod Pulau Sipadan sebagai episod
yang sengaja diada-adakan.
h) Apabila projek intifada disanggah oleh rakyat
marhaen, kita dapati GPMS terus naik garang dengan mengugut melancarkan satu
perhimpunan raksasa melibatkan 1 juta orang Melayu kerana GPMS dikatakan sudah
menerima sokongan PESAKA (Persatuan Silat kebangsaan Malaysia dan lebih 200
pertubuhan Melayu. Sasaran GPMS ialah Suqui dan meminta pertubuhan itu
menggugurkan tuntutan mereka dan meminta maaf. GPMS berlagak mahu mengetuai satu
medan perang. Ia menjadi gamat apabila seorang pakar kencing di pusara melancarkan
satu himpunan di hadapan sebuah masjid di Kelantan menyokong tindakan GPMS itu.
Utusan melaporkan penyertaan 1,000 jemaah masjid sedangkan yang ada hanyalah
pemerhati yang memang benci terhadap si wira pusara itu.
i) Kegawatan disebabkan cerita kosong mengganyang
Suqui sebenarnya merupakan satu topeng untuk membungkusi tindakan membeli saham
MAS yang dipegang oleh Tajuddin Ramli dengan harga RM8 sesaham, sedangkan harga di
pasaran terbuka adalah hanya RM3.68 sahaja. Mahathir membuat keputusan menggunakan
wang rakyat sebanyak RM1.79 bilion untuk menyelamatkan seorang kroninya.
Siapa yang Berpecah ?
Keupayaan rakyat marhaen bersatu menyanggah tindakan
Mahathir dan juga pemimpin BN telah mencetuskan satu perasaan takut di kalangan
pemimpin UMNO. Para pemimpin MCA dan Gerakan tidak berapa takut akan hal itu
kerana isyarat sudah lama diterima daripada ahli-ahli betapa mereka sudah berpihak
kepada BA. Pemimpin ini seperti Lim Kheng Yaik dan Ling Liong Sheik memang sudah
bersedia mengundurkan diri daripada arena politik. Hanya Mahathir yang menyebabkan
mereka terus memegang kuasa.
Tindakan ini memperkuatkan rancangan asal Mahathir
membesar-besarkan kekuatan orang Cina dengan tujuan meraih simpati orang Melayu.
Mahathir pun menggunakan isu itu sebagai tema ucapannya ketika menyambut Hari Raya
Puasa. “bermaaf-maafanlah kita sebagai umat Islam...!!!!” Demikianlah saranan
Mahathir. Tetapi itu adalah satu saranan yang jauh terlambat kerana orang Melayu
masih ingat betapa Mahathir pernah menyebut kemungkinan negara akan berperdana
menteri seorang bukan Melayu.
Kini, Mahathir terlalu ghairah mahukan
perbincangan mengenai perpecahan Melayu itu dengan PAS, “walaupun Kedilan tidak
sanggup melayan tawaran mereka”. Alasan yang diberikan oleh UMNO adalah seperti
yang dijelaskan oleh Mahathir sendiri, seperti berikut:
i) Ada petanda kemakmuran negara akan menuju ke arah
kehancuran jika rakyat tidak berwaspada dengan perpecahan yang berlaku sesama
mereka sekarang;
ii) Jika trend menabur kebencian dan perpecahan
antara rakyat dibiarkan atas nama kebebasan demokrasi, Malaysia tidak akan lagi
memiliki kerajaan yang berwibawa dan kuat;
iii) Walaupun banyak pihak beranggapan bahawa rakyat
akan menikmati kehidupan normal jika berlaku penggantian kerajaan tetapi adakah
jaminan bahawa kerajaan baru yang dipilih nanti lebih baik atau lebih buruk
daripada kerajaan terdahulu;
iv) Negara yang rakyatnya mula menukar kerajaaan
akhirnya berdepan dengan masalah sentiasa memilih kerajaan yang lemah kerana
tidak ada parti yang benar-benar kuat;
v) Janganlah kita (rakyat Malaysia) membiarkan
musnahnya formula yang selama ini terbukti berkesan membawa pembangunan dan
keharmonian kepada negara;
vi) Sudah ada tanda-tanda bahawa bibit kebencian
terhadap kerajaan pilihan rakyat (he.he.he) ini cuba disemaikan di kalangan
anggota pentadbiran sehingga kerajaan yang ada dianggap tidak Islamic, rasuah,
mengamalkan kronisme dan sebagainya;
vii) Mana-mana kerajaan di dunia ini akan sukar
melaksanakan tanggungjawabnya jika ada kakitangan kerajaan yang bersikap
‘mensabotaj’ kerajaan sedia ada. Jika tidak patuh, kerajaan akan runtuh. Kalau
ditukar kerajaan, maka akan ada orang dalam pentadbir yang tidak bersetuju dengan
kerajaan yang baru dan akan sabotaj kerajaan baru.
viii) Dalam amalan demokrasi, cuma undi yang
digunakan untuk menukar kerajaan dan tidak perlu kepada kekerasan atau
peperangan. Tetapi, menukar kerajaan juga tidak sepatutnya dilakukan semata-mata
kerana ingin tukar lantaran sebarang pertukaran kerajaan itu akan mengakibatkan
ketidakstabilan negara.
Seperti kebiasaannya, Mahathir mengungkit
cerita lama kerajaan Rom dan Parsi yang akhirnya runtuh dan menjadi peninggalan
sejarah. Beliau khuatir Malaysia yang baru 43 tahun menikmati kemerdekaan selepas
450 tahun di bawah kuasa penjajah, akan turut mengalami nasib yang sama
walaupun Malaysia tidak dibangun untuk menjadi sebuah empayar.
Apa yang kita rakamkan di atas adalah intipati
ucapan Mahahtir kepada kira-kira 600 ketua agensi kerajaan pada majlis Perdana
Perkhidmatan Awam Kedua (Mappa II) di Auditorium Intan, Bukit Kiara. Itulah ucapan
yang berlaku pada 11 Januari, 2001. Tetapi, isu perbincangan mengenai perpaduan
orang Melayu telah tercetus pada 1 Syawal yang lalu, bersamaan dengan 27Disember,
2000.
Kini, Syawal sudah pun menampakkan bulan
mengambangnya dengan diikuti oleh satu gerhana purnama. Mahathir masih jauh
menyimpang daripada tugasnya untuk memimpin Malaysia untuk kembali. Rakyat marhaen
masih juga menanti bila si diktator tua ini akan pergi.
Menghadapi Musibah yang Semakin Bercambah
Mahathir dan juga para pemimpin UMNO boleh terus
berdrama dengan usaha mereka untuk menaikan taraf hidup rakyat, yang berbilang
kaum kerana itu adalah tugas mereka yang paling utama. Tetapi, dalam usaha
mengekalkan kuasa, mereka semakin galak menggunakan isu perkauman untuk meraih
sokongan orang Melayu agar keluar daripada PAS dan Keadilan dan apa juga parti
yang lain selain daripada UMNO. Pelbagai usaha sedang direncana untuk
menarik sokongan orang Melayu itu. Lebih banyak rencana itu lebih banyak lagi
masalah lama yang terserlah dan lebih banyak pula masalah baru yang muncul. Inilah
hukum karma yang mesti ditanggung oleh Mahathir dan para pemimpin UMNO.
Sepatutnya kemenangan besar pemilu 1999 dulu
dimanfaatkan untuk memulihkan keadaan ekonomi negara. Dua tahun sudah berlalu
sejak tarikh itu, tetapi rakyat marhaen terus berpendapat: “Mahathir sudah nyata
gagal, segagalnya.” Apa juga yang direncana oleh Mahathir hanya
mementingkan tembolok dirinya dan para kroninya. Mahathir ternyata tidak berjaya
menipu dan berbohong kepada rakyat lagi. Kuasa kelentongannya sudah tidak berbisa.
Dulu, dia boleh menggunakan aura ketokohannya untuk berucap panjang-panjang kepada
rakyat jelata, dengan segala bantuan gema sorakan dan sokongan yang dikeluarkan
oleh kecanggihan IT. Kini, cakap-cakapnya mengenai semangat “Malaysia Boleh”
tidak dipedulikan lagi. Kerana banyak sangat projek mega yang gagal, panggilan
‘Bolehland’ oleh MGG Pillai ataupun ‘Darul-Boleh’ sebagai terjemahannya,
sudah semakin diketawakan oleh dunia luar.
Kita harus memahami perjalanan sejarah negara-negara
yang pernah dijajah oleh para diktator. Tidak ada sebuah negara yang dijajah oleh
diktator di dunia ini berada dalam keadaan senang lenang di saat-saat si diktator
itu hampir mengehembuskan nafasnya. Lagi hampir diktator itu di ambang maut, lagi
ganas dan buas tindakannya. Semua itu dilakukan tanpa segan dan silu lagi kerana
selama dia berkuasa itu segala insititusi yang ada dalam kerajaan dan juga di luar
kerajaan telah cuba dipribadikannya. Oleh kerana terlalu lama konsep
memperibadikan institusi yang besar-besar itu dengan menyalah-guanakan kuasa dan
menghamburkan wang rakyat jelata yang ada, setiap diktator akan terus menjadi
rakus sehinggakan dia mencapai tahap kegilaan yang tidak mudah untuk dijinakkan.
Tindakan gila seorang diktator itu sengaja dibiarkan
oleh para juaknya kerana mereka sendiri pun sudah menjadi keliru. Mereka takut
untuk menyekatnya kerana nyawa dan badan akan menjadi pertaruhan. Adalah
lebih menguntungkan kalau mereka akur sahaja dengan sifat kegilaan diktator
semacam itu, sambil mencari dan mencuri peluang untuk turut menumpang sekaki-dua
dalam setiap projek baru yang dimulakan lagi.
Perbuatan Mahathir yang kini disokong oleh hampir
semua institusi kerajaan akan sampai ke satu tahap dan persimpangan yang
mendebarkan. Kita dapat jangkakan Mahathir menjadi ganas kalau segala usahanya
menopang kuasa yang ada tidak berjaya. Kita boleh baca segala usaha itu seperti
yang ditulis di akhbar perdana dan seperti yang dicanang oleh segala penjilatnya.
Semua perbuatan itu tidak akan mendatangkan hasilnya dan semua tindakan
mereka hanya akan melengahkan kuasa jijik yang masih ada, sehingga satu masa si
diktator tua tidak lagi bernyawa.
Sebaliknya rakyat marhaen akan terus bertindak, cuba
menegakkan keadilan yang pasti mampu ditegakkan dengan sokongan padu rakyat
marhaen. Sedikit demi sedikit manusia yang mindanya diputar oleh si diktator,
untuk menjadi alat pencengkam kuasanya akan berpaling tadah. Secara
perlahan, proses sabotaj akan bertali arus. Diktator akan bertambah kejam dan
bertindak ganas, terus menerus. Mahathir sudah kecundang untuk terus berkuasa.
Ramai pemimpin UMNO yang berani bersuara lantang menyanggahnya. Ramai pula yang
dihambat oleh jentera gestapo Mahathir untuk diganyang dan diaibkan. Ramai yang
sudah melarikan diri dan semakin ramai yang akan terus bersembunyi. Semua menjadi
tertekan kerana seorang diktator tua yang hilang pedoman.
Mahathir sudah tidak punya pilihan lain lagi.
Dia mesti undur secara terhormat ataupun membubarkan parlimen dan mengadakan
pilihanraya umum semula. Rakyat marhaen memang sudah lama bersedia menantikannya.
-marhaintua- 14.2.2001
Nota webmaster: Artikel ini
disedut dari laman FEU. Sekiranya penulis ingin mengarkibkan siri ini dalam
ruangan Minda dan Budi diharap beliau terus emailkan satu salinan kepada saya
sebagaimana biasa. |